Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini menafikan dakwaan dalam hantaran di blog dan tapak dalam talian bahawa ia memberi layanan istimewa kepada syarikat tertentu.

Sebuah tapak dalam talian mendakwa Petronas memberi layanan istimewa kepada sebuah syarikat penyedia perkhidmatan huluan minyak dan gas.

Dalam kenyataan, syarikat minyak dan gas dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia itu berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa relevan berhubung hantaran itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.

“Merujuk kepada dakwaan berniat jahat yang terkandung dalam hantaran itu dalam sebuah tapak dalam talian yang tidak disahkan itu, Petronas ingin menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak berasas dan tidak benar.

“Petronas berpegang pada standard tertinggi tadbir urus korporat dan ketelusan dalam mengendalikan semua urusan perniagaan kami dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana orang yang berterusan mencemarkan reputasi dan integriti syarikat atau kakitangannya,” katanya.

— BERNAMA