Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah diarahkan memfailkan penyataan pembelaan dalam saman dikemukakan syarikat berkenaan yang menuntut ganti rugi berjumlah RM7.69 juta berhubung pembelian kondominium mewah terletak di Troika, Persiaran KLCC.
Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad gagal dalam permohonan bagi mendapatkan semula pasportnya untuk menunaikan umrah, semasa pendengaran permohonan itu di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Mohd Isa untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi tujuan mengerjakan umrah dari 10 hingga 21 Feb.

Dalam penghakiman, Azura menegaskan walaupun Mohd Isa selaku pemohon tidak berisiko untuk melarikan diri tetapi dia tiada keperluan mendesak untuk menunaikan umrah.

Pada 25 Jan, Mohd Isa yang diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan pasportnya bagi menunaikan umrah.

Terdahulu, Kumaraendran dalam hujahannya menyatakan bahawa anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan ia diakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana Mohd Isa sentiasa memberi kerjasama sepanjang proses siasatan berlangsung.

“Dari tarikh anak guam saya direman pada 15 Ogos 2017, dia telah lima kali pergi ke luar negara, sentiasa melaporkan perjalanannya kepada SPRM dan tiada halangan perjalanannya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar yang mengendalikan pertuduhan berhujah mempersoalkan adakah permohonan itu satu keperluan memandangkan tertuduh telah dua kali menunaikan umrah sepanjang tahun lepas iaitu pada bulan Januari dan Mei.

“Sepanjang tempoh dari Disember 2017 hingga November 2018, tertuduh telah beberapa kali ke luar negara termasuk dua kali menunaikan umrah,” katanya dan menegaskan mungkin ada ada lagi permohonan lain sekiranya mahkamah membenarkan permohonan tertuduh pada kali ini.

Umar Saifuddin berkata walaupun Mohd Isa tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri tetapi selepas dia menghadapi pertuduhan pada Disember 2018 statusnya telah berbeza dan tuduhan yang dihadapi juga sangat serius.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Mohd Isa dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA