Tan Sri Kenneth Eswaran

KUALA LUMPUR – Pendekatan holistik dalam menangani isu pekerja asing perlu digunakan  bagi memastikan masalah kekurangan tenaga kerja khususnya industri dikendalikan komuniti India dapat diselesaikan.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI), Tan Sri Dr. Kenneth Eswaran berkata, pihaknya menyambut baik cadangan kerajaan memperkenalkan sistem dalam talian bagi permohonan pekerja asing dan sebarang prosedur membabitkan transaksi kewangan.

JICCI katanya, turut menggesa sistem dalam talian itu dikendalikan sepenuhnya Kementerian Sumber Manusia atau mana-mana agensi kerajaan yang relevan.

“Kami amat berharap kerajaan tidak membuat keputusan untuk menswastakan sistem berkenaan atau menyerahkan ia untuk diuruskan pihak ketiga bagi mengelakkan pembaziran serta penyalah gunaan dana.

“Sistem ini juga perlu memainkan peranan sebagai sistem sehenti yang menyeragamkan semua proses pengambilan pekerja serta perkara lain, tertakluk kepada bidang kuasa kementerian atau jabatan berkaitan,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, langkah sistem dalam talian itu secara tidak langsung dapat mengurangkan pegawai bersemuka dengan orang awam sekaligus mengurangkan risiko berlaku gejala rasuah.

Mengulas lanjut Kenneth berkata, penangguhan berterusan dalam pengambilan tenaga kerja asing memberi impak negatif pada perniagaan dijalankan komuniti India dan India Muslim khususnya pada industri tekstil, restoran, perkhidmatan menggunting rambut, dobi, percetakan dan perniagaan emas.

“Kami amat berharap masalah ini selesai dengan baik pada kadar segera kerana khidmat pekerja asing ini amat diperlukan dan memberi sumbangan besar pada kelansungan perniagaan sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette