Nik Omar Nik Abdul Aziz
Nik Omar Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Nik Omar Nik Abdul Aziz mempertahankan pelantikan kesemua 12 Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang kini menjadi kontroversi.

Beliau yang juga Yang Dipertua YADIM memaklumkan, pelantikan individu itu selaras dengan hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk melihat agensi itu m selaras gagasan Islam sebagai Rahmatal Lil Alamin (rahmat sekalian alam).

Katanya, pelantikan ahli lembaga baharu itu daripada gabungan golongan profesional agama, akademik dan perundangan diyakini mampu menjana idea dan memberi nasihat kepada pihak pengurusan agensi berkenaan.

“Kepelbagaian latar belakang dan pengalaman sememangnya sesuai dengan agensi seperti YADIM dalam menggerakkan agendanya, iaitu meletakkan Islam di Malaysia di kedudukan sebenar melalui medan dakwah penuh hikmah.

“YADIM juga menerima dengan positif dan mengambil maklum semua pandangan, nasihat dan kritikan dan akan menjadikannya sebagai kerangka untuk penambahbaikan organisasi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mujahid menyerahkan watikah pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM kepada 12 individu profesional.

Antaranya Nik Omar sendiri selaku anak bekas Menteri Besar Kelantan dan Zolkharnain Abidin selaku timbalannya.

Sebelum ini, pelantikan ahli lembaga YADIM itu menjadi kontroversi apabila seorang wakil rakyat DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Sheikh Omar Ali.

Selain Sheikh Omar turut dilantik ialah Nor Azrina Binti Surip @ Nurin Aina Abdullah, Syed Ibrahim Syed Noh, Lt. Kol. Prof. Madya Datuk  Dr. Samsu Adabi Mamat, Datuk Abdul Ghani Shamsuddin, Dr. Mohd Razak Idris, Ahmad Sayuti Bashiron, Mohamad Raimi Ab. Rahim, Maznah Daud serta Shamsul Ma’arif Ismail.

Nik Omar juga berkata, selain dakwah, YADIM akan menumpukan kepada usaha pengkaderan daie dan para pendakwah yang memahami Islam serta menggunakan pendekatan terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

“YADIM juga akan memperkukuhkan hubungan dan interaksi dengan badan badan bukan kerajaan Islam di negara ini serta menjadikan mereka sebagai rakan strategik dan menyumbang kepada pembangunan ummah.

“YADIM komited menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh patuh Syariah yang boleh dijadikan rujukan kepada negara lain di peringkat antarabangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/01/30/yadim-dikuasai-parti-ph/