Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan diminta supaya memberikan penjelasan terperinci berhubung pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk golongan (B40) dan Skim MySalam yang dilancarkan baru-baru ini.

Malah, kementerian itu juga perlu menjelaskan beberapa perkara melibatkan pengurusan serta pengoperasian skim itu kepada umum, kata Ahli Jawatankuasa Pas Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

Beliau mendakwa, banyak pihak berkepentingan dalam sektor kesihatan termasuk pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) tidak dirunding dan tidak bersetuju dengan skim tersebut.

“Kementerian Kesihatan juga perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung manfaat yang akan diterima oleh rakyat.

“Adakah kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan sekiranya seseorang individu yang layak menghidapi salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal?

“Atau, adakah rakyat hanya menerima pembayaran ‘one-off’ sebanyak RM8,000 sahaja dan baki kos rawatan perlu ditanggung sendiri oleh individu tersebut?

“Sekiranya seseorang individu telah menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal sebelum 1 Januari 2019, adakah dia juga layak untuk mendapat manfaat skim ini?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendakwa, Skim MySalam melibatkan syarikat operator takaful luar negara (Singapura) dan ia berkait dengan polisi Bank Negara Malaysia.

Katanya, jumlah RM2 bilion sumbangan Great Eastern Takaful Bhd ke dalam skim itu turut menimbulkan tanda tanya.

Tambahan pula soal beliau, mengapa kerajaan perlu membayar kadar premium sebanyak RM112 setiap individu kepada pihak syarikat.

“Bagaimana sebenarnya perjanjian antara kedua-duanya? Adakah Great Eastern telah mengaut laba yang besar dalam skim ini?” soalnya lagi.

Justeru, beliau menggesa agar skim itu ditarik balik buat sementara waktu bagi memperincikan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Diharapkan agar niat yang murni dapat dilaksanakan dengan perancangan yang rapi. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/01/28/kkm-lancar-peka-b40-dengan-kos-rm100-juta/