Seorang pelanggan membaca risalah pewartaan tempat larangan merokok semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JANUARI 2019
Seorang pelanggan membaca risalah pewartaan tempat larangan merokok semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Tiada arahan mahkamah untuk memberhentikan atau menangguhkan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mesej yang tular di media sosial sebelum ini tidak benar kononnya mahkamah telah memerintahkan larangan merokok di tempat makan ditangguhkan serta merta.

Beliau berkata, ia adalah satu berita palsu yang disengajakan oleh pihak tidak bertanggungjawab di luar sana.

“Sehingga kini tiada sebarang arahan mahkamah yang mememinta menghentikan atau menangguhkan larangan merokok di tempat makan,” kata kementerian dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah 

Justeru, KKM juga mengingatkan semua pihak agar terus mematuhi peraturan ini dan KKM akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan pendidikan sehingga Jun ini diikuti penguatkuasaan sepenuhnya bermula 1 Julai 2019.

“Pelaksanaan larangan merokok di tempat makan dibuat selaras dengan komitmen Malaysia kepada Artikel 8, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Framework Convention on Tobacco Control dalam melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap produk tembakau dan rokok,” ujar beliau.

Semua lapisan masyarakat diseru agar menerima pelaksanaan larangan merokok ini sebagai langkah yang positif bagi meningkatkan tahap kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan ini juga dapat membudayakan amalan tidak merokok terutama di kalangan kanak-kanak dan remaja, selaras dengan hasrat Kerajaan bagi mencapai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok,” tegas beliau.- MalaysiaGazette