Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan membina empat buah masjid di Palu, Sulawesi Tengah selepas kebanyakan masjid di kawasan itu musnah atau rosak teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada September tahun lepas.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan membina empat buah masjid di Palu, Sulawesi Tengah selepas kebanyakan masjid di kawasan itu musnah atau rosak teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada September tahun lepas.

JAKARTA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan membina empat buah masjid di Palu, Sulawesi Tengah selepas kebanyakan masjid di kawasan itu musnah atau rosak teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada September tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Dr Ahmad Sani Alim Araby berkata buat permulaan, sebuah masjid yang diwakafkan oleh pengeluar filem dan siri televisyen Malaysia, SKOP Productions Sdn Bhd akan dibina di atas tanah seluas 1.5 hektar di Palu.

“Masjid wakaf SKOP Productions ini dijadualkan siap dalam tempoh 50 hari, atau sebelum Ramadan ini, bagi membolehkan masyarakat setempat mengimarahkannya pada bulan Ramadan,” katanya di sini.

Beliau berkata pembinaan masjid itu adalah usaha berterusan Mapim yang sebelum ini telah menghantar 20 trak makanan dan pelbagai bantuan ke Palu selain membina perigi air untuk keperluan air bersih penduduk.

Pada 28 Sept 2018, kejadian gempa bumi bermagnitud 7.7 pada skala Richter di Sulawesi turut mengakibatkan tsunami di Palu dan Donggala, mengorbankan lebih 3,000 nyawa selain kemusnahan teruk harta benda dan infrastruktur serta rumah ibadat.

“Sebanyak 99 masjid musnah dan beratus rosak teruk di Palu. Pembinaan tiga masjid lagi akan dibincangkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SKOP Productions Datuk Yusof Haslam berkata sumbangan tersebut adalah tanda keprihatinan syarikat terhadap penderitaan penduduk Palu.

“Tragedi itu berlaku ketika filem box office kami iaitu Munafik 2, ditayangkan di Indonesia. Ini adalah sumbangan kami untuk mereka dan kerja-kerja pembinaan masjid yang boleh memuatkan 300 jemaah itu akan bermula hari ini,” katanya yang mewakili syarikat menandatangani memorandum persefahaman dengan Mapim bagi tujuan tersebut, di sini.

Ketua Bidang Bimbingan Masyarakat Islam, kementerian Agama Provinsi Sulawesi Tengah, Mohammad Ramli yang turut hadir pada majlis tersebut yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di sini, berkata beliau amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menyalurkan bantuan.

“Saya lahir di Palu, dibesarkan di Palu, menjalani kehidupan di Palu. Dalam sekelip mata kampung halaman kami musnah. Sukar untuk saya gambarkan.

“Dilaporkan lebih 3,000 terkorban, tapi itu berdasarkan data pihak berkuasa, beribu masih hilang berdasarkan aduan waris,” katanya yang yakin jumlah mangsa hilang jauh lebih besar berbanding angka rasmi kerajaan.

— BERNAMA