Projek Terowong Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan perkembangan projek terowong Pulau Pinang yang masih belum siap walaupun sudah enam tahun berlalu.

Malah bekas Perdana Menteri itu hairan projek yang dianugerahkan oleh kerajaan DAP semasa Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri termasuk tiga jalan raya masih tidak ada sebarang kerja pembinaan bermula sehingga kini.

“Sudah masuk tahun 2019, laporan-laporan untuk projek terowong Pulau Pinang yang dianugerahkan oleh kerajaan DAP semasa Guan Eng ialah Ketua Menteri masih belum siap lagi walaupun sudah enam tahun.

“Kos untuk laporan-laporan ini ialah RM305 juta dan kos untuk keseluruhan projek ini mencecah RM6.3 bilion.

“Kesuluruhan kos ini dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang DAP dengan menggunakan aset rakyat.

“Walaupun projek mega untuk terowong dan tiga jalan raya ini dianugerahkan pada tahun 2013, masih tidak ada sebarang kerja pembinaan telah bermula sehingga kini,” tulisnya di laman Facebok miliknya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa, semasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, syarikat yang dianugerahkan projek dan kerajaan DAP Pulau Pinang pernah mengaku kepada media bahawa syarikat konsesi itu telah membayar rasuah sebanyak RM22 juta untuk menghentikan siasatan.

Jelas Najib, ialah satu pengakuan yang jelas menunjukkan wujudnya salah laku.

“Bagaimanapun, difahamkan bahawa siasatan SPRM dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah dihentikan oleh kerajaan selepas PH (Pakatan Harapan) menang,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette