Malaysia telah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Kementerian Pengangkutan republik itu.
Gambar hiasan.

JITRA – Malaysia dan Singapura masih lagi berunding mengenai bayaran pampasan susulan penangguhan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Katanya, sebarang kenyataan mengenai perkara itu hanya akan dikeluarkan selepas kedua-dua negara mencapai kata putus dan dimuktamadkan.

“Penangguhan projek HSR melibatkan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G), saya ingat kita tunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan.

“Bila kami bersedia dan sudah muktamadkan nanti, kami akan maklumkan,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra Gong Xi Fa Cai Parlimen Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai jumlah bayaran yang telah dijelaskan Malaysia kepada Singapura, Amiruddin turut enggan mengulas lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia bayar kos tangguh projek HSR, kata Singapura

Khamis lalu, Kementerian Pengangkutan Singapura dalam kenyataan berkata Malaysia telah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan projek HSR dan telah “mendapat pengesahan daripada Kerajaan Malaysia menerusi koresponden diplomatik” mengenai pembayaran itu.

Pada 5 Sept 2018, Singapura bersetuju menggantung pembinaan projek itu sehingga akhir Mei 2020.

Susulan permohonan Malaysia itu, kerajaan bersetuju membayar kos penangguhan S$15 juta (RM45 juta) kepada kerajaan Singapura sebelum 31 Jan 2019.

Malah, pertukaran dokumen undang-undang antara kedua-dua negara telah dibuat di Putrajaya membabitkan perubahan Perjanjian Dua Hala HSR berkenaan.

Perkhidmatan Ekspres HSR antara Singapura dan Kuala Lumpur dijadual bermula menjelang 1 Jan 2031 berbanding tarikh awal pada 31 Dis 2026.

— BERNAMA