Seorang wartawan wanita akhbar berbahasa Cina berputih mata selepas kereta Perodua Myvi dan telefon bimbitnya dilarikan dalam kejadian samun bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Seksyen 17 Damansara, Petaling Jaya, di sini tengah malam tadi.
Polis memburu lima lelaki disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah pejabat di Klang, tiga hari lepas. Gambar hiasan

JOHOR BAHRU  – Polis menumpaskan ‘Geng Botak Sern’ yang dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah dengan penahanan lapan lelaki dan tiga wanita anggota kumpulan itu, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata, kesemua mereka berumur antara 23 dan 28 tahun itu ditahan di empat lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini dan Kulai.

“Penahanan mereka dilakukan menerusi Ops Limau yang dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara mulai 15 Jan lepas bagi menangani jenayah bersempena Tahun Baru Cina termasuk samun dan pecah rumah.

“Siasatan awal mempercayai kesemua mereka yang positif dadah jenis methamphethamine itu terlibat dalam empat kes pecah rumah termasuk di kondominium di sekitar bandar raya ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Taib berkata, polis merampas pelbagai barangan dan peralatan pecah rumah dari kediaman anggota kumpulan itu di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai termasuk sejumlah dadah jenis syabu dan eramin 5, sepucuk pistol tiruan serta sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Ayer Keroh, Melaka.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketua kumpulan terbabit mempunyai sembilan rekod jenayah pecah rumah manakala lima anggota lain mempunyai pelbagai rekod jenayah.

Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri kenderaan motor, Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol tiruan serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dan mengambil dadah.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain penahanan ‘Geng Botak Sern’ itu, Ops Limau mulai 15 Januari sehingga setakat malam tadi, turut menahan 61 individu lain atas pelbagai kesalahan jenayah manakala 13 lagi atas aktiviti perjudian dan maksiat.

“Polis sehubungan itu, menyarankan orang ramai yang berhasrat meninggal kediaman dalam tempoh lama sempena musim perayaan ini supaya memaklumkan kepada balai polis atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) supaya kediaman mereka dilawati peronda polis.

“Sejak 29 Jan hingga semalam, hanya 33 pemilik rumah di kawasan IPD Johor Bahru Utara didapati berbuat sedemikian (memaklumkan balai polis atau aplikasi VSP),” katanya. -Bernama