Kempen boikot Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit dan produk sawit semakin 'mengganas' sehingga hotel bebas sawit telah diwujudkan oleh entiti perniagaan yang menentang penggunaan sawit.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kempen boikot Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit dan produk sawit semakin ‘mengganas’ sehingga hotel bebas sawit telah diwujudkan oleh entiti perniagaan yang menentang penggunaan sawit.

Hotel berkenaan antaranya memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa semua produk hotel adalah bebas daripada sawit sebagai tanda sokongan terhadap usaha memboikot hasil pertanian itu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, selain itu, terdapat lebih 1,900 produk dari Kesatuan Eropah telah ditampalkan dengan tanda bebas sawit (no palm oil).

“Pertubuhan bukan kerajaan pula mendakwa kerajaan meneroka ladang sawit setiap hari sehingga mengancam habitat orang utan. Dakwaan seperti ini adalah tidak berasas,” kata Teresa kepada China Press.

Beliau berkata, usaha menentang kempen boikot sawit oleh Eropah bagaikan perang perdagangan.

Teresa justeru berharap rakyat dan syarikat korporat sebarisan dengan kerajaan dalam usaha mempertahankan sawit.

“Produk negara kita harus dipertahankan dan sekiranya sawit diboikot dan menyebabkan lambakan, ia pasti akan memberi impak kepada ekonomi,” katanya.

Menurutnya, Malaysia tidak akan bertolak ansur dalam isu sawit dan akan berbincang dengan Indonesia untuk mencari jalan supaya perdagangan dengan Eropah tidak terjejas.

Tambahnya, cara terbaik untuk meningkatkan permintaan terhadap sawit ialah memperluaskan penggunaan biodiesel.

Kata Teresa lagi, kempen sayangi sawit (Love My Palm Oil) telah dilancarkan kerana ramai rakyat Malaysia sebenarnya belum mengetahui kegunaan dan kebaikan sawit. – MalaysiaGazette