Majlis Bandaraya Petaling Jaya
Majlis Bandaraya Petaling Jaya

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Petaling Jaya dinobatkan sebagai antara 10 bandar raya di dunia untuk Anugerah Bandaraya Pembelajaran 2019.

Anugerah itu diberi oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berikutan pencapaian cemerlang dan prestasi ditempa bandar raya itu dalam sektor pendidikan.

“Kajian itu berdasarkan daripada Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat UNESCO (UIL), yang menyifatkan rancangan Petaling Jaya menaik taraf pendidikan awam dan mampu menyediakan bas percuma adalah satu perkara terbaik.

“Malah, bandar raya itu (Petaling Jaya) juga menggunakan sepenuhnya sumber disediakan rakan strategik,” kata badan berkenaan menerusi kenyataan di http://uil.unesco.org hari ini.

Selain Petaling Jaya, sembilan bandar raya lain diberi anugerah sama ialah Aswan (Mesir), Chengdu (China), Heraklion (Greece), Ibadan (Nigeria), Medellin (Columbia), Melitopol (Ukraine), Santiago (Mexico), Seodaemun (Korea Selatan) dan Sønderborg (Denmark).

UNESCO berkata, kejayaan 10 bandar raya berkenaan mampu memberi keyakinan bagi mempromosikan pendidikan serta pembelajaran sepanjang hayat di peringkat tempatan.

“Walaupun masing-masing bermula daripada pelbagai konteks ekonomi, politik, sosial dan alam sekitar, semua pemenang Anugerah Bandar Pembelajaran UNESCO 2019 mempunyai kriteria tertentu.

“Ia merangkumi inisiatif inovasi dan dasar khusus, selain pelbagai program yang menyediakan rangkaian peluang demi manfaat komuniti setempat,” jelasnya.

Untuk rekod, anugerah tersebut akan disampaikan pada penganjuran Persidangan Bandar Pembelajaran Antarabangsa 2019 di Medellin, Columbia. – MalaysiaGazette