Foto Instagram drzulkifli.albakri

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melahirkan rasa terharu selepas menerima sekeping warkah dari seorang kanak-kanak autisme yang bernama Aiman.

Dalam coretan warkah itu, Aiman yang berusia 13 tahun memberitahu Dr. Zulkifli mengenai hasratnya dan rakan-rakan untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran.

“Aiman mohon ustaz doakan semoga Aiman dan kawan-kawan berjaya hafaz 30 juzuk Al-Quran. Aiman sentiasa doakan ustaz Datuk. Terima kasih ustaz Datuk kerana selalu melayan Aiman. Salam sayang Aiman,” katanya menerusi warkah berkenaan.

Foto Astro AWANI

Dr. Zulkifli menerusi akaun Instagramnya berkata, beliau mendoakan agar segala urusan kanak-kanak itu dipermudahkan dunia akhirat selain kagum dengan semangat dan usaha gigih ditunjukkan Aiman.

“Selesai kuliah kami menerima warkah daripada adik Aiman. Tiada kata lain yang dapat kami ungkapkan atas usaha gigihnya. Semoga maju jaya dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat. Amin.

“Anakanda Aiman selalu mengirim surat kepada saya. Kadangkala beliau menghantar mesej kepada saya melalui Instagram.

“Beliau anak autisme yang istimewa, sangat pandai dan selalu mendengar kuliah saya. Ini surat terbaru beliau yang diberi tadi. Sama-sama doakan adik Aiman berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette