Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memaklumkan perkembangan program Food Bank Malaysia (FBM) dibawa masuk ke universiti seluruh negara dari semasa ke semasa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan menyelaraskan program itu agar lebih kemas dan mengharapkan mendapat kerjasama baik daripada mahasiswa.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kerana bersedia membantu kementerian itu agar program FBM berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat kerajaan membantu golongan mahasiswa yang memerlukan.

“Program itu antara usaha kerajaan untuk meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PKPIM, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin dilaporkan, menyambut baik pelaksanaan FBM di universiti sebagai tanda prihatin kerajaan dengan permasalahan yang sedang dihadapi golongan mahasiswa.

“PKPIM maklum akan keresahan dan kesusahan dihadapi rakan mahasiswa di universiti.

“Kita telah mengorak langkah memulakan projek “Dapur Helwa” melalui kerjasama bersama Hal Ehwal Wanita ABIM (Helwa) di beberapa universiti awam dan swasta bagi membantu mahasiswa yang memerlukan,” katanya.

Ahmad Fahmi turut memuji langkah kementerian itu mempelawa mahasiswa sama-sama menjayakan inisiatif FBM di universiti, sekali gus membuktikan kerajaan bersedia berganding bahu dengan semua pihak bagi memastikan kebajikan rakyat terutama mahasiswa terjaga. – MalaysiaGazette