Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Datuk Mahfuz Omar diminta menjelaskan siapa sebenarnya sekarang yang ‘sapu duit rakyat’ selepas projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diambil alih oleh Kementerian Kewangan daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

LTAT semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada tahun 2015 telah mengambil alih pelaksanaan AES daripada syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd yang membabitkan 47 kamera sistem itu.

Tetapi, pada Ogos tahun lalu, kerajaan telah membayar balik sejumlah RM55 juta bagi mengambil alih dana LTAT yang sebelum ini digunakan untuk mengambil alih operasi 47 kamera termasuk aset.

Datuk Seri Najib Razak berkata, selepas PH mengambil alih projek itu, semua wang saman yang dikutip diambil oleh Kementerian Kewangan.

“Projek AES sebenarnya dimulakan dan dipilih sebelum saya menjadi PM. Apabila saya menjadi PM, kerajaan kita meminta LTAT untuk mengambil alih projek itu supaya LTAT boleh dapat sedikit pendapatan untuk veteran-veteran.

“Tetapi kerajaan PH hari ini sudah mengambil balik projek ini dari LTAT dan semua wang saman yang dikutip kini masuk ke dalam Kementerian Kewangan.

“Kena tanya Pahlawan ini lagi. So.. sekarang siapa yang sapu duit Rakyat?,” kata Najib dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

Bekas Perdana Menteri itu menggelar Mahfuz sebagai ‘pahlawan’ kerana beliau merupakan individu paling lantang membantah AES yang disifatkan hanya untuk memeras duit dan menzalimi rakyat.

Malah, Mahfuz pernah menyeru orang ramai tidak membayar saman AES dan membuat demonstrasi membantah sistem itu.

Najib membuat kenyataan tersebut selepas Ahli Parlimen Pokok Sena itu enggan melayan kritikannya berhubung tindakan kerajaan menambah sebanyak 11 lagi AES.

Malah, beliau turut membidas Mahfuz kerana hanya mampu menjawab kenyataan seperti itu selepas menjadi Timbalan Menteri. – MalaysiaGazette