Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Anggota polis di seluruh negara diminta mengekalkan momentum kecemerlangan perkhidmatan yang terbaik, di samping terus berusaha menjaga keamanan negara dan memelihara kesejahteraan masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam perutusan sambutan Tahun Baharu Cina 2019 turut mengajak rakyat Malaysia untuk berusaha mengeratkan hubungan muhibah dan menyuburkan perpaduan sesama sendiri.

“Sama-samalah kita mengamalkan semangat bersatu hati, saling hormat-menghormati serta bertoleransi di bawah satu rumpun masyarakat berbilang kaum yang menjadi tunjang kepada keharmonian negara selama ini,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media di sini, hari ini.

Beliau dan keluarga mengambil kesempatan itu mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh warga polis dan rakyat Malaysia keturunan Tionghua yang meraikannya.

Katanya, Tahun Baharu Cina dianggap titik permulaan bagi sebuah kehidupan baharu yang lebih baik dan sejahtera.

“Ia disambut dengan penuh tradisi yang bermula dengan upacara makan besar, sebagai simbol keutuhan ikatan kekeluargaan, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni,” katanya.

Mohamad Fuzi juga menasihatkan warga yang merancang untuk meninggalkan kediaman sempena cuti perayaan itu, memastikan keselamatan rumah diberi perhatian sewajarnya.

“Memandulah dengan berhemah di jalan raya dan patuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan, agar selamat sampai ke destinasi yang dituju.

“Gong Xi Fa Cai..Xin Nian Kuai Le,” ucapnya. – MalaysiaGazette