PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 117 individu termasuk seorang wanita yang dipercayai penganjur parti persendirian menjelang Tahun Baharu Cina di sebuah pusat hiburan di Pudu, di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP Muhammad Najib Hamzah berkata dalam operasi bermula 2 pagi itu pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 314 individu dan mendapati 115 daripada mereka termasuk 29 wanita positif dadah.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempunyai tatu angka 08 di bahu kiri dan dia direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Muhammad Najib berkata penganjur berusia 27 tahun, yang menyewa premis berkenaan dengan harga RM12,000 sehari, dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan mendapati penganjuran parti itu diiklankan menerusi laman Facebook dan bayaran RM30 dikenakan untuk menyertainya sebelum 12 tengah malam dan dinaikkan kepada RM40 selepas 12 tengah malam, katanya.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas minuman keras, peralatan muzik dan wang tunai,” katanya.

— BERNAMA