Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Langkah keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelesaikan kes saman terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah terus dibidas komponen Pakatan Harapan (PH).

Selepas Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, giliran Ahli Majlis Pemimpin Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula membuat perkara sama.

Menurut beliau, wang hasil kutipan daripada tabung kos guaman saman parti itu dengan media antarabangsa itu perlu dipulangkan kepada rakyat.

“Duit tin milo kira kena pulang balik ke?,” tulis beliau di Twitter.

Januari lalu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, parti itu memerlukan sebanyak RM400,000 lagi bagi tujuan menampung kos guaman sama berkenaan.

Difahamkan Pas sudah membayar sejumlah hampir RM2.5 juta sebagai kos kepada peguam di United Kingdom.

Bagaimanapun, Abdul Hadi memutuskan untuk menyelesaikan masalah itu di luar mahkamah baru-baru ini.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman dalam satu kenyataan semalam berkata, Abdul Hadi membuat keputusan itu setelah meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang telah difailkan terhadap Rewcastle-Brown dari semua aspek, selain mempertimbang pandangan serta nasihat peguam beliau.

Beliau berkata, penyelesaian itu melibatkan Abdul Hadi menarik balik tuntutan terhadap defendan iaitu Rewcastle-Brown serta defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Hadi.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis Rewcastle-Brown yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa wang sebanyak RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi Pas bagi mempengaruhi mereka supaya menyokong UMNO dan Barisan Nasional. -MalaysiaGazette