Kapal mewah ‘Equanimity’ yang dijual secara kehakiman oleh Mahkamah Admiralti Malaysia pada harga AS$126 juta,.

KUALA LUMPUR – Kapal Equanimity yang sangat dikehendaki oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng semata-mata untuk membuktikan ia dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini diibaratkan sebagai biawak hidup kepada kerajaan Pakatan Harapan

Kapal mewah yang didakwa milik Low Taek Jho atau Jho Low itu kini masih gagal dilelong kerana tiada siapa mahu membelinya.

Akibatnya, kini kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM2 juta sebulan untuk menyelenggara kapal berkenaan.

“Sekarang sudah 7 bulan tersadai. Itu bermakna kerajaan sudah membazir wang rakyat sebanyak RM14 juta. Bukankah itu pembaziran namanya?” tanya Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.

Katanya, Dr Mahathir dan Guan Eng merupakan individu paling ceria apabila kapal Equanimity dipulangkan kepada Malaysia pada 7 Ogos 2018. I

Dakwa beliau lagi, tujuan membawa balik Equanimity hanya satu iaitu untuk ‘spin’ isu 1MDB.

Dr Mahathir dan Guan Eng, tambah beliau mahu membuktikan kapal itu dibeli menggunakan duit curi daripada 1MDB.

Malah, menurutnya, Guan Eng berbangga dapat merampas Equanimity apabila terus mengumumkan untuk melelongnya.

Veteran UMNO itu menambah, Peguam Negara, Tommy Thomas juga tumpang malu kerana Sitpah Nevaratnamoni, yang bertindak sebagai Penasihat Transaksi dan Peguam 1MDB telah gagal melelong kapal tersebut.

Bahkan, kata Mohd Puad, Sitpah mengakui 20 pembida sebelum ini opportunis dan hanya mahu membelinya di bawah harga AS$100 juta sedangkan harga asal RM1 bilion.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu mempersoalkan sampai bila kapal berkenaan akan tersadai sehingga menjadi besi buruk.

“Berapa banyak lagi wang rakyat akan dibazirkan. Difahamkan pemilikan kapal ini sudah menjadi pertikaian mahkamah, maka sudah pasti tidak ada pembeli yang berani untuk membelinya.

“Inilah cerdiknya Kerajaan PH. Akhirnya senjata makan Tuan,” katanya. – MalaysiaGazette