Hacienda Healthcare merupakan pusat penjagaan jangka panjang yang menjadi lokasi seorang pesakit wanita dirogol. Gamber kecil adalah tertuduh Nathan Sutherland. foto Agensi

ARIZONA – Seorang jururawat mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan merogol seorang pesakit hingga melahirkan seorang bayi di sebuah klinik yang menjaganya.

Nathan Sutherland, 36, dituduh melakukan serangan seksual dan menganiaya seorang dewasa yang lemah.

Mangsa berusia 29 tahun itu telah menjadi pesakit di kemudahan Hacienda HealthCare di Arizona selama dua dekad.

Sutherland ditahan selepas ujian DNA dilakukan terhadap bayi lelaki yang dilahirkan pada Disember tahun lalu.

Dave Gregan, peguam tertuduh berkata, anak guamnya akan mempertahankan pengakuannya dan merancang untuk melakukan ujian DNA secara bebas.

Tertuduh telah dipecat oleh klinik Phoenix – tempat dia bekerja sejak 2012 sebagai seorang jururawat.

Sebelum ditahan, polis telah melakukan ujian DNA ke atas semua kakitangan lelaki selepas wanita itu menunjukkan untuk melahirkan seorang bayi.

Tiada seorang pun kakitangan di klinik penjagaan jangka panjang itu menyedari mangsa yang menetap di situ sejak usia muda telah mengandung.

Mangsa yang disifatkan sebagai koma oleh polis, mampu memberi maklum balas kepada bunyi dan boleh menggerakkan tubuhnya.

Perbicaraan kes itu akan didengar pada 19 Mac ini.

Bayi lelaki yang dalam keadaan sihat itu kini di bawah penjagaan keluarga mangsa. – MalaysiaGazette