Seorang pemandu bas ekspres maut manakala 10 penumpang cedera selepas bas itu melanggar sebuah lori tangki di kilometer 409.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kuala Kubu Baharu, dalam kejadian pada 4.43 pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu bas ekspres maut manakala 10 penumpang cedera selepas bas itu melanggar sebuah lori tangki di kilometer 409.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kuala Kubu Baharu, dalam kejadian pada 4.43 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Lim Bak Phai berkata bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam melanggar belakang lori tangki itu yang bergerak perlahan di lorong kiri lebuh raya.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu bas tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, seorang daripada 30 penumpang bas itu mengalami cedera parah manakala sembilan lagi dilaporkan cedera ringan.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Lim berkata lori tangki itu membawa susu getah dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan, namun pemandu itu ditahan selepas semakan mendapati dia dikehendaki bagi kes pecah amanah yang disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast