Mohammed bin Salman. foto Agensi

NEW YORK – Putera Mohammed bin Salman pernah memberitahu pembantu kanannya bahawa beliau akan menghentikan Jamal Khashoggi ‘dengan peluru’ setahun sebelum pembunuhan wartawan itu di dalam bangunan Konsulat Arab Saudi.

New York Times yang memetik sumber perisikan Amerika Syarikat berkata, Mohammed bin Salman bersedia untuk membunuh wartawan itu, walaupun beliau tidak semestinya bermaksud menembaknya.

Perbualan itu telah dipintas oleh agensi perisikan Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada usaha rutin oleh Badan Keselamatan Negara dan agensi lain untuk merekod dan menyimpan komunikasi para pemimpin global, termasuk yang sekutu dengannya, kata New York Times.

Bagaimanapun, perbualan itu telah ditranskripkan baru-baru ini kerana Amerika Syarikat sedang mencari bukti lebih konklusif untuk mengaitkan Putera Mahkota dengan pembunuhan itu.

Perbualan itu, menurut laporan media tersebut berlaku antara Putera Mahkota dan pemnbantunya, Turki Aldakhil pada bulan September 2017, kira-kira 13 bulan sebelum Khashoggi dibunuh.

Khashoggi yang juga rakyat Arab Saudi dibunuh pada 2 Oktober lalu.

Arab Saudi pada awalnya telah menafikan sebarang pengetahuan berhubung kehilangan Khashoggi tetapi kemudian mengesahkan sekumpulan individu telah membunuh wartawan tersebut di dalam bangunan Konsulat yang satu misi dahsyat tetapi tidak melibatkan Putera Mahkota.

New York Post mendakwa, Putera Mohammed bin Salman itu berkata, jika Khashoggi tidak dapat di bawa balik ke Arab Saudi, maka dia harus dipaksa pulang.

Jika kedua-dua kaedah itu tidak berfungsi, maka dia akan menghentikan Khashoggi “dengan peluru,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai dibuat selepas pegawai-pegawai Arab Saudi semakin marah dengan kritikan Khashoggi – dan pada bulan yang sama wartawan itu mula menulis pandangannya untuk The Washington Post. – MalaysiaGazette