Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (kanan) menyerahkan beg kitar semula kepada orang ramai pada Kempen 'Anti Litter - Give Your Litter A Lift Home' di Stesen Petronas Solaris Putra, Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 FEBRUARI 2019

SERDANG – Kementerian Wilayah Persekutuan menjangkakan penjimatan sehingga RM60 juta bagi kos pengurusan sisa pepejal dan sampah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelang 2020.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, jumlah itu dapat dicapai sekiranya warga ibu kota dapat mengurangkan penjanaan sampah yang kini mencecah 2,500 tan metrik sehari.

MGF09022019_KEMPEN ANTI LITTER_14
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bercakap kepada media pada Kempen ‘Anti Litter – Give Your Litter A Lift Home’ di Stesen Petronas Solaris Putra, Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 FEBRUARI 2019

“Ianya merupakan satu jumlah yang tetap besar dan kita nak tentukan bahawa masalah penjanaan sampah ini dapat dikurangkan dalam kalangan rakyat Malaysia, ini kesedaran kita bersama.

“Insya-Allah kita akan dapat dikurangkan (sampah) sekiranya jumlah penjanaan sampah itu juga pun dapat dikurangkan.

“Sekarang RM260 juta (kos pengurusan sampah dan sisa pepejal) kalau kita dapat kurangkan penjanaan sampah itu, maka mungkin kita dapat jimatkan RM60 juta dan dana ini dapat kita gunakan untuk infrastuktur dan perkhidmatan lain,” katanya pada sidang media selepas Kempen Anti ‘Litter Give Your Litter A Lift Home’ di Stesen Petronas Solaris Putra, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan.

Kempen Anti ‘Litter Give Your Litter A Lift Home’ antara lain mendidik masyarakat khususnya pengguna jalan raya agar tidak membuang sampah ke luar kenderaan, sebaliknya menyimpan dan membuangnya di tong sampah di stesen minyak, kawasan rehat dan rawat.

Kempen itu antara usaha Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah di ibu negara yang mencatatkan sehingga 2,500 tan metrik sehari.

Khalid juga berkata, selain Kuala Lumpur, kerajaan juga dalam usaha untuk mengurangkan kos pengurusan sampah dan sisa pepejal di Putrajaya dan Labuan masing-masing melibatkan kos RM90 juta dan RM50 setahun.

“Sampah ini menyebabkan kita kos tinggi, bagi kontraktor sampah ini adalah duit kerana boleh jana duit.

“Kalau kita dapat tangani dengan baik ia tidak akan rugikan mana-mana pihak

“Kalau kita tangani dengan kitar semula, ia akan datangkan hasil kepada semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette