Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Seputeh mengambil sikap tunggu dan lihat apa tindakan yang akan diambil oleh Menteri Wilayah, Khalid Samad terhadap aduan berhubung kebanjiran peniaga dalam kalangan pendatang asing dan aktiviti malam di pusat hiburan tanpa kawalan.

Naib Ketuanya, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, Khalid harus membuktikan beliau mampu menangani dua permasalahan itu sebagaimana sebelum menjadi kerajaan, Pakatan Harapan (PH) boleh bercakap apa dan semuanya dirasakan mudah serta boleh dilakukan.

“Kita tengok dan lihat tindakan di era beliau dan PH pula. Ketika masih pembangkang dia boleh cakap, jika PH menang, sebelum Subuh kilang arak akan ditutup.

“Sekarang sudah masuk hampir sembilan bulan memerintah kerajaan Persekutuan, kilang arak masih gah beroperasi.

“Pendatang asing makin menguasai pasar di Selangor dan Khalid hendak tutup pusat hiburan sebelum jam 1 pagi pun takut,” katanya dalam ciapan Twitter beliau semalam.

Mohd Razlan mengulas ciapan Twitter Khalid yang menyatakan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan bertolak ansur terhadap peniaga warga asing yang degil serta ‘kebal’ dari undang-undang pihak berkuasa.

Khalid dilaporkan berkata, tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan.

Menurut Mohd Razlan yang merupakan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah, apa sahaja janji dan cakap Khalid termasuk pemimpin PH yang menerajui semua kementerian hanya untuk ‘sedap didengar sahaja’. – MalaysiaGazette