ALOR SETAR – Masuk hari kelima kebakaran di Gunung Baling, sehingga pagi ini, lebih 90 peratus kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd. Jamil Mat Daud berkata, kebakaran yang melibatkan hampir 3 hektar kawasan itu telah berjaya dikawal.
Katanya, kerja pemadaman adalah melalui jalan darat dan udara.
“Sehingga jam 10 pagi tadi, sebanyak lima beg ‘water bombing’ dilepaskan dari helikopter MI-17 di lokasi kebakaran.
“Selain itu, anggota bomba turut menggunakan ‘fire beater’ dan ‘jet shooter’ untuk membantu memadamkan kebakaran kecil di kawasan lereng bukit,” kata Mohd. Jamil memetik laporan Astro Awani.
Kerja pemadaman dilakukan 20 anggota dan turut dibantu malim gunung dan 40 anggota daripada agensi penguat kuasa yang lain.
Operasi bermula pukul 7.30 pagi itu turut mengesan titik kecil kebakaran menghala ke arah kuari Gunung Baling namun keadaan terkawal.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya keadaan cuaca hari ini panas dan angin kuat, api yang telah dipadam mungkin akan marak semula.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Mohd Jamil berkata, penggunaan helikopter tersebut milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih diteruskan bagi memadam kebakaran.
Punca kebakaran yang bermula Rabu lalu itu masih belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian. – MalaysiaGazette