BRUSSELS – Perkhidmatan keselamatan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran kepada pada diplomat supaya meneliti di mana mereka keluar makan dan menghabiskan masa terluang kerana Brussels dibanjiri beratus-ratus ejen perisik Rusia dan China, lapor media Jerman.

Terdapat ‘kira-kira 250 pengintip China dan 200 pengintip Rusia’ mengintip di seluruh ibu negara tidak rasmi EU, Brussels, kata diplomat kepada akhbar Jerman, Welt am Sonntag, yang memetik amaran daripada European External Action Service (EEAS).

Notis sama turut dihantar kepada para pegawai tentera EU. Dalam usaha mengelak daripada menjadi sasaran Moscow dan Beijing, para diplomat dinasihatkan untuk tidak mengunjungi sebahagian besar kawasan Brussels di mana majoriti institusi EU berpangkalan, kata akhbar itu.

Tempat larangan itu termasuk restoran steak popular dan sebuah kafe yang terletak berhampiran bangunan Berlaymont yang menempatkan Suruhanjaya Eropah dan ibupejabat EEAS.

Menurut laporan tersebut, pada kebiasaannya pengintip China dan Rusia beroperasi dalam kedutaan dan pejabat perdagangan masing-masing tetapi mereka tidak menimbulkan masalah itu memandangkan ejen perisik Amerika Syarikat (AS), malah Maghribi dikatakan aktif di ibu negara Belgium itu.

Akhbar itu berkata, pertelingkahan mengenai ejen perisik hanya berlaku lebih daripada sedekad lalu. Pada 2003, alat pendengaran ditemui dipasang di bangunan Justus Lipsius yang menempatkan Majlis Eropah. AS dan Israel dinamakan sebagai suspek utama tetapi siasatan susulan gagal mengaitkan alat curi pendengaran itu dengan mana-mana negara. – Agensi