Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluangkan masa dengan melawat salah seorang penduduk yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), Salisah Peijo (dua kanan) di Kampung Sesapan Kelubi, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kunjungannya ke kawasan kampung di Rinching khususnya Beranang sesuatu yang istimewa umpama kembali ke pangkuan keluarga.

Ini kerana kata Menteri Belia dan Sukan itu, kawasan Semenyih telah dilawatinya dua tahun lalu sebelum Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan dan berucap di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang.

“Bagi saya lawatan ini adalah ke kawasan yang bersejarah, sebab tempat inilah saya datang berucap tetapi dibawa menaiki motosikal pada waktu malam sebelum PPBM ditubuhkan.

“Tetapi kali ini saya datang menaiki basikal bersantai dengan rakyat, kali ini saya tidak memberi bantuan berbentuk hulurkan wang,” katanya dalam sidang media sambil melemparkan senyuman.

Justeru katanya, kehadiran beliau ketika ini sama ada bermotifkan Pilihan Raya Kecil (PRK) ataupun tidak beliau tetap komited demi tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat di sini.

“Saya sebagai pemimpin mempunyai tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat. Sewaktu melawat dahulu, padang sebelah balai raya ini, gelanggang sepak takraw dan futsal memerlukan kerja menaiktaraf yang lebih baik.

“Semasa kunjungan pagi tadi, itu antara perkara yang diluahkan ketua komuniti dan pemuda kampung di sini.

“Saya, isyaAllah akan cuba menaiktaraf gelanggang sepak takraw yang terbiar tanpa sistem pendawaian elektrik, serta gelanggang futsal serta padang bola,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga menegaskan Semenyih berpotensi menjadi lokasi ‘pelancongan berbasikal’ di rantau itu.

Menurut Syed Saddiq, program pembangunan belia dirancang kerajaan selepas kawasan itu terbukti sentiasa menjadi tumpuan golongan berbasikal sepanjang masa.

“Jalan pun segar dan elok untuk dijadikan pelancongan berbasikal. Tetapi sebelum itu, ia berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk merangka pelan ke arah itu,” katanya. – Malaysiagazette