Gambar yang dimuatnaik oleh Nabila Huda di akaun Instagramnya ketika latihan pementasan OlaBola The Musical musim kedua.

KUALA LUMPUR – Siapa yang mengikuti perkembangan Nabila Huda di akaun Instagram sebelum ini mesti mengenalinuya sebagai pelakon wanita yang tidak mengambil berat tentang isu berat badan.

Jika sebelum ini Nabila tidak memilih makan namun sekarang terpaksa menolak makanan kegemaran dan ruji iaitu nasi demi OlaBola The Musical musim kedua yang bakal dipentaskan 18 Febuari nanti.

“Ramai yang tahu, saya memang kaki makan, termasuk nasi. Namun, bagi menjayakan pementasan ini, saya kena tolak nasi ke tepi.

“Semua ini saya lakukan bukan sekadar untuk kelihatan cantik di atas pentas, tetapi juga mengambil kira faktor stamina. Kalau badan berat, nanti saya akan mudah mengah.

“Pada masa sama, latihan turut menuntut saya banyak menari. Sedikit sebanyak ia memudahkan lagi usaha menurunkan berat badan,” katanya.

Selepas menjaga pola pemakanan, Nabila kini berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 7 kilogram.

Secara berseloroh Nabila berkata, dia tidak sabar untuk kembali menjamah hidangan kegemaran sebaik sahaja selesai pembabitannya dalam teater muzikal berkenaan.

“Alhamdulillah, daripada 65 kilogram (kg), berat saya kini turun kepada 58 kg. Proses penurunan terbabit mengambil masa 25 hari.

“Saya rindu untuk menikmati pelbagai jenis makanan seperti biasa. Sekarang, memang saya kena kawal nafsu makan. Jadi, tidak sabar rasanya nak menunggu kerja lakonan ini selesai,” tambahnya.

Selain Nabila, teater arahan Puan Seri Tiara Jacquelina itu turut dibintangi oleh Iedil Putra, Brian Chan, Luqman Hafidz, Abi Manyu, Jian Wen, Melissa Ong, Douglas Lim dan Altimet.-MalaysiaGazette