Parti Amanah Negara

SEMENYIH – Kebebasan berpolitik tidak menghalang sesebuah parti untuk melaksanakan apa-apa yang pernah dibantah ketika menjadi pembangkang selepas menjadi kerajaan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, beliau mengakui Pakatan HarapanNaib  (PH) mengkaji semula segala usaha dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang dilihat mampu memberi keuntungan kepada negara.

Dengan memberikan contoh pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, langkah itu katanya memenuhi maqasid syariah dalam Islam.

“Bila kami mula memerintah, kami kaji balik. Tengok balik keadaan realiti dan sebaliknya dan kami mengubah suai. Akhirnya apa yang kami buat ini menguntungkan negara dan ummah.

“Ia barangkali masa kami jadi pembangkang kami membantah dan sebagainya. Ada yang kami bantah tidak ikut apa yang sepatutnya. Tapi kebebasan politik kami tidak bawa apa yang kami bangkang dahulu.

“Saya mengatakan bahawa dunia berubah dan kepentingan negara menjadi asas walaupun orang akan marah kami dulu pembangkang cakap lain sekarang cakap lain tetapi kami cakap pasal keadaan sekarang yang menguntungkan rakyat, menguntungkan negara dan menguntungkan orang ramai itu menjadi lebih utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas mengikuti beberapa program Menteri Pendidikan, Maszlee Malik di sini hari ini.

Hasanuddin diminta mengulas kenyataannya berhubung kesimpulan terhadap AES yang dikatakan menetapi maqasid syariah berdasarkan perbualan beliau dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat lepas.

Kenyataan beliau itu mengundang kritikan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila mempersoalkan, mengapa perkara itu tidak pernah diumum sebelum ini.

Malah, Najib turut menyindir apabila mengatakan Hasanuddin seolah-olah mendapat sinar kerohanian selepas bertemu dengan menteri dari parti DAP itu.

Perkara sama turut dibangkitkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila membidas Hasanuddin yang disifatkan cuba menggunakan pendekatan agama untuk menghalalkan pemasangan AES tersebut oleh kerajaan PH.

Tuan Ibrahim secara sinis mempersoalkan perbezaan AES ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditentang habis-habisan oleh PH dahulu.

Menjawab mengenai perkara tersebut, Hasanuddin yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, telah menjadi dasar dalam PH meletakkan maqasid syariah sebagai asas dalam pengurusan serta pentadbiran negara dan bukannya mahu menggunakan agama.

Katanya, PH mahu semua pegawai dan kakitangan kerajaan berfikir apabila membuat sesuatu agar berlandaskan maqasid syariah atau sebagainya.

“Jadi kami mempertahakan itu dan bukannya menggunakan agama dalam politik.

“Kami nak mengajar seluruh menteri-menteri, timbalan menteri, pegawai kerajaan sentiasa bertindak menggunakan maqasid syariah,” ujarnya. – MalaysiaGazette