Kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

KUALA LUMPUR – Kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun Mohd Nazlan menolak permohonan Thomas agar tiga pertuduhan tambahan tersebut dibicarakan bersama dengan tiga lagi kes (pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Najib.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan pemindahan kes, namun isu perbicaraan bersama ini adalah pramatang kerana ia bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu,” kata hakim.

Terdahulu, Thomas memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan memohon untuk memindahkan kes Najib menurut Seksyen 417(1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

Thomas berkata pemindahan kes akan mempercepatkan proses keadilan memandangkan kes terbabit mempunyai maklumat saling berkait, justeru prosiding berasingan di dua mahkamah yang berbeza hierarki tidak akan membawa manfaat kepada sistem keadilan.

Beliau berkata Najib didakwa dengan tiga pertuduhan menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) di Mahkamah Sesyen pada 8 Feb.

“Beliau (Najib) juga berdepan perbicaraan bersama dalam tiga kes berasingan di mahkamah ini dan perbicaraan akan bermula esok,” kata Thomas.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membalas bahawa Seksyen 417 tidak ada kena-mengena dengan permohonan perbicaraan bersama.

Muhammad Shafiee juga memohon pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi yang akan dipanggil esok kepada pihak pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berkata pendakwaan telah menyediakan saksi tersebut namun langkah memaklumkannya kepada pihak pembelaan pada masa ini tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Mereka hanya akan tahu apabila saksi hadir esok. Jika saya beritahu mereka sekarang, siapa yang saya cadangkan untuk datang esok hanya akan jadi cadangan,” katanya.

Hakim kemudian mengarahkan pendakwaan menyerahkan senarai mereka yang pada masa ini dicadang pendakwaan untuk dipanggil sebagai saksi selepas prosiding di Mahkamah Rayuan petang ini yang ditetapkan bagi mendengar permohonan Najib menangguhkan perbicaraan.

Pada 8 Feb lalu, Najib, 66 didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini dengan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Tiga pertuduhan itu mendakwa Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima masing-masing RM27 juta, RM10 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada kegiatan haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking beliau.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 menurut Seksyen 4 (1) (a) AMLATFA.

Beliau berdepan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

— BERNAMA