Seorang wanita memandikan anjing di bilik tukar lampin di R&R Tapah.

KUALA LUMPUR – Rakaman video seorang wanita memandikan seekor anjing dalam bilik tukar lampin Hentian Rehat dan Rawat (R&R) mendapat reaksi negatif dalam kalangan warganet.

Kejadian di Hentian R&R Tapah Lebuhraya Utara Selatan itu dirakam secara langsung oleh seorang pengguna Facebook, Farah Shafiza Che Amat.

Ramai menganggap perbuatan wanita itu tidak menghormati sensitivit agama lain.

Difahamkan, ketika kejadian para pekerja di R&R dan pengunjung lain menegur perbuatan wanita berkenaan namun ia tidak diendahkan.

Malah dilaporkan Shafiza juga menegur perbuatan wanita yang sama.

Dia mendakwa wanita berkenaan hanya berkata, anjingnya bukan kotor dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu.

Selepas kejadian, Shafiza membuat laporan kepada PLUS Malaysia Berhad.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan PLUS memaklumkan persekitaran bilik tukar lampin bayi itu sudah disamak dan dibersihkan serta-merta supaya ia boleh terus digunakan oleh pelanggan.

d790db71-7ba3-4891-9fe4-fffb54aa01e9
Seorang kakitangan PLUS menyamak bilik tukar lampin R&R Tapah hari ini.

“PLUS melahirkan rasa kesal dengan kejadian terpencil berkenaan di mana wanita terbabit tidak menghiraukan teguran petugas dan pelanggan yang menyaksikan kejadian itu.

“PLUS ingin menegaskan seluruh kawasan R&R di sepanjang lebuhraya adalah kawasan larangan haiwan peliharaan untuk memastikan kebersihan dan keselesaan pelanggan lebuhraya.

“Justeru, PLUS memohon kerjasama semua pelanggan supaya mematuhi larangan terbabit demi keselesaan pelanggan yang lain,” ujar kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette