Tommy Thomas
Tommy Thomas. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Peguam Negara (AG) Tommy Thomas mahu perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta, dimulakan pada 25 Feb.

Thomas memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau akan menghantar sepucuk surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) tengah hari ini supaya dipercepatkan pendengaran rayuan Najib berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh pertuduhan terhadapnya oleh pihak pendakwaan.

Thomas berkata pihak pendakwaan akan meminta Mahkamah Rayuan supaya menyegerakan pendengaran rayuan itu seawal mungkin dan akan menghantar surat kepada Presiden COA untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal.

“Sekiranya mereka (pembelaan) jujur dan ikhlas dalam rayuan mereka, kenapa mereka mahu menangguhkan perbicaraan. Kami (pendakwaan) tidak mahu menangguhkan perbicaraan ini,” katanya ketika kes itu disebut dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Thomas berkata hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes SRC Najib, bagaimanapun ia ditangguhkan semalam apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga kes rayuannya selesai.

— BERNAMA

Artikel berkaitan: 

Perbicaraan kes SRC Najib esok ditangguh

Pendakwaraya punca kes SRC ditangguhkan