Saarani Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak perlu memberi penjelasan kenapa khazanah hutan di negeri itu kini seolah-olah menjadi bahan dagangan politik.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad membuat dakwaan itu merujuk kepada isu pemberian tanah hutan seluas 1,000 ekar kepada syarikat yang bermodal RM2 yang dibongkar pihaknya.

“Pertama, bagaimana sebuah syarikat yang bermodalkan RM2 boleh mendapat tanah hutan sehingga 1,000 ekar malah syarikat berkenaan tidak mempunyai pejabat operasi.

“Kita membuat semakan dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan kita mendapati mereka menggunakan sebuah alamat di Taiping dan bila kita semak rupa-rupanya alamat itu adalah pejabat guaman di Taiping dan bukan syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembalakan,” katanya pada sidang media di Ipoh, Perak hari ini.

Menurut laporan UMNO Online, nama syarikat berkenaan ialah NJ Development Sdn Bhd beralamat di No. 96, Tingkat 1, Jalan Kota, Taiping, Perak.

Menurut Saarani, syarikat tersebut ditubuhkan pada 26 Julai 2018 iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu manakala mesyuarat yang meluluskan tanah tersebut kepada NJ Development Sdn Bhd ialah mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak Bil 2/2018 pada 21 November 2018.

“Maka, pihak PH (Pakatan Harapan) khususnya DAP jangan tuding jari kepada Barisan Nasional (BN) sebab sekali menuding jari kepada orang lain, empat jari kembali diri sendiri.

“Tak boleh tipu rakyat seolah-olah ini berlaku ketika BN menjadi kerajaan. Maka, jawab dengan lidah yang fasih apa sudah jadi.

“Sebelum ini PH berjanji akan melaksanakan sistem tender terbuka yang kononya lebih telus serta adil dalam kawasan pembalakan. Jika benar ini dilaksanakan kerajaan negeri sepatutnya tidak perlu khuatir untuk mendedahkan senarai nama mereka yang diberikan kawasan pembalakan,” katanya lagi.

Saarani yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perak menimbulkan persoalan mengenai pemantauan dan penguatkuasaan yang sering dilaung-laungkan oleh kerajaan PH Perak.

“Apa sudah jadi pemantauan dan penguatkuasaan yang sering dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri sehingga kawasan hutan bukit Kledang yang terletak di tengah-tengah bandaraya Ipoh boleh diceroboh secara terbuka.

“Kawasan Ipoh ini kebanyakan wakil rakyatnya adalah dari kerajaan, hampir semua diwakili oleh DAP termasuklah Ahli Parlimen Batu Gajah, Ipoh Timur dan Ipoh Barat.

“Kawasan yang diceroboh itu tidak pula terpandang oleh ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN dari kerajaan PH,” katanya.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan pada awalnya juga berkata pencerobohan hutan secara berleluasa dan pemberian ribuan ekar tanah hutan simpan kepada syarikat-syarikat tertentu membuktikan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri perak sekarang ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kampar Thomas Su Keong Siong dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu tersebut.- MalaysiaGazette