Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang turut terpalit dengan fitnah pemalsuan sijil akademik menafikan dakwaan beliau menuntut di Belford University sebagaimana ditular hari ini.

“Saya dimaklumkan bahawa telah tular di media sosial mengenai dakwaan bahawa saya merupakan lulusan dari sebuah universiti luar negara.

“Perkara tersebut jelas merupakan satu fitnah yang jelas mahu mencemarkan nama saya. Saya tidak pernah memiliki apa-apa ijazah dari mana-mana universiti dalam atau luar negara.

“Perkara ini bukan rahsia kerana sejak dahulu lagi umum mengetahui bahawa saya tidak memiliki ijazah dari mana-mana univeristi dari dalam atau luar negara,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada media hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang memetik seorang aktivis politik, Mohd Khalid Ismath menerusi ciapan Twitternya yang mempersoalkan universiti tempat beliau belajar.

Persoalan yang dibangkitkan Mohd Khalid itu disertakan dengan paparan buku biodata dipercayai kegunaan untuk majlis rasmi kerajaan Kedah yang menyatakan universiti pengajian Mahfuz.

Buku itu mencatatkan Mahfuz belajar di Belford University. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahfuz lulusan Belford University?