Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) diiringi Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar (kiri) bersalaman dengan pegawai penjara semasa hadir pada lawatan kerja di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan ucapannya kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika lawatan kerjanya ke Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini sebagai langkah meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Sebaliknya, apa yang disampaikan olehnya pada majlis itu adalah sekadar memberi penjelasan kepada anggota pasukan keselamatan berkenaan dan bukan tujuan berkempen, kata Menteri Dalam Negeri berkata,.

“Tugas saya sebagai menteri, ini adalah agensi dibawah saya. Saya kena jaga dan jelaskan supaya mereka tahu bidang-bidang mana yang hendak difokus supaya ia siap sedia bagaimana yang diharapkan untuk mantapkan prestasi kecemerlangan PDRM atau jabatan penjara.

“Saya tak fikir itu melanggar mana-mana etika. Apasal dah jadi menteri tak boleh buat kerja.

“Contoh ada yang kata saya sakit saya tak buat itu. Saya dah jalankan tugas, saya turun ke bawah jumpa pegawai dan berbincang,” katanya pada sidang media di di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai ucapannya di hadapan pegawai-pegawai dan anggota PDRM yang dilihat berbaur kempen ketika melakukan lawatan kerja di Kem Batalion ke-14 PGA di sini hari ini.

Dalam ucapannya Muhyiddin ada menyebut mengenai ketidaktelusan kerajaan terdahulu dalam mentadbir negara sehingga berlakunya banyak penyelewengan.

Malah, beliau turut meminta kerjasama daripada anggota pasukan itu untuk menyokong kerajaan meskipun menyatakan tugas memilih kerajaan adalah hak individu.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau perlu memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk pegawai kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri mengenai dasar yang dibuat oleh kerajaan hari ini.

Katanya, ia sebagai mengelak daripada berlakunya salah faham yang dcetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan kekeliruan.

“Kalau saya nak bercakap memang tak habis lagi. Jelas satu persatu jadi akan ambil masa.

“Yang penting nak perjelaskan, macam orang kata kita tak pertahan itu dan ini, tiada apa dibuat seolah-olah Pakatan Harapan tak tahu buat kerja,” ujarnya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di hsopital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Februari ini hari ini penamaan calon, 26 Februari mengundi awal dan 2 Mac hari mengundi.

MGF12022019_LAWATAN KERJA MUHYIDDIN YASSIN05
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) mempengerusikan taklimat pada lawatan kerja di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 FEBRUARI 2019

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan pertemuan tertutup dengan pegawai-pegawai Jabatan Penjara di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di Sungai Jelok, Kajang.

Turut sama pada lawatan itu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast