Shahril Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang ditubuhkan oleh kerajaan terus dipersoalkan oleh pelbagai pihak.

Ini kerana, MTEN pernah diwujudkan dulu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998 tetapi ketika itu negara dilanda krisis ekonomi yang turut membabitkan negara-negara ASEAN dan sebahagian ekonomi besar.

Ketika itu MTEN ditubuhkan sebagai badan penasihat kepada Kabinet.

Bagaimanapun, kata Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan, MTEN  yang diwujudkan baru-baru ini bukan sebagai tindak balas kepada kegawatan ekonomi ASEAN atau dunia seperti tahun 1998.

Lagipun, pada ketika ini ekonomi negara jiran seperti Thailand dan Indonesia dilihat amat kukuh.

“Persoalannya, adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana ketidakupayaan menteri-menteri melaksanakan tugas mereka untuk mengemudi ekonomi negara?

“Adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana menteri-menteri gagal dalam menyelaraskan dasar-dasar antara kementerian sehingga keluar percanggahan kenyataan kepada media dan rakyat umumnya,” soalnya.

Shahir berkata, kenyataan-kenyataan tidak konsisten daripada menteri-menteri membawa bencana kepada ekonomi negara kerana tiada keyakinan oleh pelabur-pelabur asing.

Akibatnya, ekonomi terjejas teruk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda Ikatan berharap kerajaan komited untuk memulihkan kembali ekonomi dengan kewujudkan MTEN memandangkan segala agenda dan dasar ekonomi bakal disuarakan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi MTEN.

“Oleh itu, rakyat harus menilai, adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana faktor ekonomi atau faktor hilang
kepercayaan?,” katanya. – MalaysiaGazette