Paul Yong Choo Kiong.

IPOH – Exco Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Yong Choo Kiong  sebelum ini tidak tahu bahawa ijazah yang dipegangnya adalah dikeluarkan oleh universiti yang dilihat sebagai ‘kilang diploma’.

Choo Kiong berkata, beliau tidak tahu bahawa dirinya termasuk ke dalam sebuah ‘kilang diploma’ pada 16 tahun lalu kerana Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak wujud pada masa itu.

Beliau berkata, Sarjana Pengurusan Perniagaan yang dikeluarkan Universiti Akamai, Amerika Syarikat itu adalah diperoleh melalui pembelajaran jarak jauh.

Katanya, yuran pengajian sebanyak RM20,000 telah dibayar untuk mengikuti kelas dan memperoleh ijazah.

“Saya belajar pada masa itu untuk memberi tambah nilai kepada diri sendiri khususnya dalam bidang perniagaan.

“Saya tidak pernah menyimpan niat untuk menggunakan ijazah ini untuk memohon kerja apa lagi untuk berkecimpung dalam politik,” katanya kepada Oriental Daily.

Kata Choo Kiong, beliau perlu memandu dari Sitiawan, Perak ke sebuah hotel di Kuala Lumpur setiap minggu untuk menghadiri kelas yang diadakan.

“Kami diberi tunjuk ajar oleh seorang pengajar yang turut memberi bimbingan dalam penulisan tesis.

“Saya menamatkan pengajian selepas setahun dan menghadiri majlis konvokesyen di Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Paul Yong, ADUN DAP pun guna MBA palsu?