Pesawat A380 milik Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

TOULOUSE – Disayangi penumpang tetapi digeruni akauntan, pesawat terbesar dunia bakal hilang dari landasan tidak lama lagi apabila Airbus membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran A380 selepas 12 tahun perkhidmatannya akibat permintaan yang semakin merosot.

Tindakan menghentikan pengeluaran pesawat superjumbo itu adalah keputusan terakhir yang terpaksa diambil oleh Airbus sekaligus mencerminkan kegagalannya meraih sokongan pemilik-pemilik syarikat penerbangan terhadap wawasannya mahu menjadikan pesawat besar itu sebagai penyelesaian kepada kesesakan di lapangan terbang.

Aliran trafik udara berkembang pesat tetapi disumbang terutamanya oleh pesawat-pesawat dua enjin yang ternyata mencukupi buat para penumpang terbang dari satu destinasi ke satu destinasi yang dihajati berbanding menggunakan pesawat besar empat enjin dan memaksa penumpang membuat pertukaran di hab-hab lapangan terbang.

Malah pelanggan utama seperti Emirates turut mengakui, pesawat superjumbo dengan 544 tempat duduk itu hanya menguntungkan apabila penuh kerana setiap tempat duduk yang tidak dapat dijual hanya “mengeringkan” poket syarikat penerbangan berikutan penggunaan bahan api yang tinggi.

“Ia adalah sebuah pesawat yang menggerunkan mana-mana Ketua Pegawai Kewangan syarikat penerbangan kerana risiko kegagalan menjual sebanyak mungkin tiket adalah sangat tinggi,” kata seorang sumber yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang aeroangkasa.

Airbus sebelum ini berbangga apabila menjangkakan A380 mampu dijual sebanyak 700-750 unit yang mana harga sebuah pesawat superjumbo itu pada ketika ini adalah sekitar AS$446 juta dan menjadikan Boeing 747 sebagai pesawat usang.

Tetapi hakikatnya, tempahan A380 sukar untuk melangkaui paras 300 dan sekaligus menyaksikan Boeing 747 berjaya mengatasi pesaingnya itu walaupun sudah berusia 50 tahun minggu ini.

Pengerusinya menyatakan kekecewaan terhadap situasi yang melanda A380 tetapi menerima kenyataan tersebut.

“Kami terima hakikat itu kerana inilah realiti sebenar yang berlaku,” katanya pada Khamis.- Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast