Sani Hamzan
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Sani Hamzan (tengah) bersama Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin (kiri) dan Ketua Pemuda Amanah Wilayah, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (kanan) menunjukkan laporan polis terhadap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) hari ini mempersoalkan tujuan sebenar Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Ketua Pemudanya, Sani Hamzan berkata, pengakuan hubungan itu dalam rakaman audio didakwa milik Ahli Parlimen Bachok itu boleh mengancam kedaulatan negara dan pihak polis perlu menyiasatnya dengan segera.

“Apa keperluan Ahli Parlimen Bachok ini mempunyai hubungan sangat akrab dengan CIA sehingga dia katakan dia tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim pergi mana, apa program hari ini.

“Malah beliau juga tahu tentang Jokowi (Presiden Indonesia), apa program dia hari ini, dia buat apa pada hari ini.

“Ini mengundang keresahan kita sebagai rakyat Malaysia, jika benar kepimpinan beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen dalam negara ini mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan CIA,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin dan Ketua Pemuda Amanah Wilayah, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan.

Terdahulu Pemuda Amanah membuat laporan polis terhadap anak bekas Menteri Besar Kelantan itu berhubung rakaman audio didakwa miliknya berhubung pengakuan mempunyai hubungan akrab dengan pihak CIA yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Sebelum ini, Nik Mohamad Abduh tampil mengakui rakaman audio yang dikaitkan dengannya baru-baru ini.

Dalam kenyataan panjang di Facebook pada Rabu, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, penafiannya sebelum ini dibuat selepas pimpinan Pas berkeras agar beliau berbuat demikian.

Nik Abduh juga berkata, keputusan untuk menafikan rakaman audio yang tular sekitar Mac tahun lalu itu mendapat restu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Shazni Munir pula berkata, laporan polis itu dibuat susulan pengakuan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada Selasa bahawa suara dalam rakaman audio itu milik Nik Mohamad Abduh.

“Kami hadir membuat satu laporan polis ke atas Nik Mohamad Abduh rentetan kenyataan Datuk Takiyuddin yang mengaku pada 12 Februari bahawa suara dalam audio itu merupakan suara milik Nik Mohamad Abduh.

“Kami meminta pihak polis menyiasat keseluruhan kandungan audio tersebut kerana tertera secara jelas pengakuan Nik Mohamad Abduh bahawa beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan ejen CIA.

“Jika terbukti benar, ia merupakan satu pengakuan yang amat serius dalam konteks kita sebuah negara merdeka dan berdaulat,” katanya. – MalaysiaGazette