KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri membatalkan penayangan teater berunsur seks dan songsang secara terbuka di negeri itu.
Ketua Penerangannya, Ahmad Safuan Ujar menegaskan, walaupun nama teater terbabit sudah ditukar, namun ia masih mempromosikan aktiviti tidak bermoral dan mencabar sensitiviti Islam.
“Pemuda Pas Pulau Pinang mengecam tindakan pihak pembuat teater ‘Love in George Town’ atau tajuk asal ‘Sex In George Town’ yang masih berusaha untuk terus membuat tayangan bermula pada hari ini sehingga 17 Februari.
“Walhal ia mendapat tentangan daripada rakyat termasuk laporan polis oleh aktivis-aktivis NGO dan parti politik.
“Pemuda Pas Pulau Pinang memberi amaran kepada pihak terbabit agar membatalkan terus hasrat mereka walaupun mendakwa akan menukar tajuk tayangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Teater bertajuk ‘Sex in Georgetown City’ yang dijadual dipersembahkan di Penangpac, Georgetown, Pulau Pinang pada 14 hingga 17 Februari ini.
Rata-rata membantah kerana penganjur didakwa cuba mempromosi budaya seks secara terbuka kepada masyarakat termasuk anak-anak bawah umur memandangkan tiket juga dijual kepada anak-anak serendah umur 14 atau 15 tahun.
Sinopsis teater yang dipaparkan agak meragukan yang mana secara jelas memberitahu isi ceritanya berkisar tentang antaranya persahabatan luar tabii.
Ahmad berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang sewajarnya mengambil tindakan atas desakan rakyat sebelum ini termasuk beberapa siri bantahan antaranya ‘Penang Nude Sports Game’ dan tayangan filem berunsur gay ‘Lost in Paradise’.
“Tindakan sikap bisu Kerajaan DAP Pulau Pinang menyuburkan lagi lubuk maksiat yang telah lama bersarang di negeri ini.
“Pemuda Pas Pulau Pinang khuatir apabila dibenarkan tayangan ini akan mengundang kerosakan akidah dan akhlak remaja.
“Ia boleh menambahkan kegiatan tidak bermoral melalui seks bebas, buang bayi, dadah serta pelbagai masalah sosial yang sedia meruncing.
“Kami mendesak segala promosi serta tayangan tidak bermoral ini dibatalkan serta-merta demi menyelamatkan akhlak anak muda dan mengekang kegiatan golongan Liberal ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette