Perbuatan buli di sekolah tidak boleh diterma ibu bapa dan masyarakat serta wajar dihapuskan. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Satu video membabitkan kes buli murid didakwa berlaku di sebuah sekolah di Jerteh, Terengganu tersebar sehingga menjadi viral di laman sosial, Facebook hari ini.

Rakaman video berdurasi 1 minit 26 saat itu dipercayai berlaku di dalam sebuah kelas kerana berlatar belakang dinding.

Dalam rakaman tersebut seorang budak lelaki yang memakai baju-T pengakap dipukul, ditendang dan ditampar dari pelbagai arah oleh beberapa orang murid sekolah.

Mangsa yang dilihat tidak melawan, hanya mampu mengelak dan menepis apabila dibuli oleh rakan-rakannya.

Malah, tidak ada seorang pun murid-murid tampil membantu mangsa yang dibuli meskipun terdengar banyak suara dalam rakaman berkenaan.

Rakaman itu dikongsikan oleh pemilik Facebook yang bernama Hesh Jay Bee.

Namun, kejadian itu tidak diketahui bila berlaku namun didakwa terjadi di Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh.

Rakaman yang dikongsikan itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata marah dengan kejadian tersebut, apatah lagi membabitkan murid sekolah rendah.

Mereka mahu kes-kes itu dilaporkan segera kepada sekolah dan tindakan selanjutnya diambil – MalaysiaGazette