Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Paras pelaburan antarabangsa bersih Malaysia mencatatkan liabiliti bersih lebih rendah sebanyak RM77.7 bilion

Pada akhir Disember 2018, kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) bersih Malaysia mencatatkan liabiliti bersih yang lebih rendah RM77.7 bilion (S3 2018: liabiliti bersih RM97.6 bilion).

Kedudukan aset kewangan menurun kepada RM1,684.2 bilion berbanding RM1,695.5 bilion pada suku ketiga 2018.

Sementara itu, jumlah liabiliti berkurang sebanyak RM31.3 bilion untuk merekodkan RM1,761.9 bilion (S3 2018: RM1,793.1 bilion), menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Kedudukan Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) merekodkan RM492.0 bilion (S3 2018: RM492.0 bilion).

Pelaburan ini terutamanya dalam aktiviti Kewangan dan insurans / takaful (38.9%), diikuti oleh sektor Perlombongan & pengkuarian (16.7%) dan Pertanian (8.3%).

Destinasi utama bagi DIA adalah Singapura, Indonesia dan Kepulauan Cayman.

Sementara itu, kedudukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia meningkat kepada RM631.2 bilion (S3 2018: RM623.1 billion).

Sektor pembuatan kekal sebagai penerima FDI tertinggi (41.8%), diikuti oleh aktiviti Kewangan dan insurans / takaful (22.3%) dan sektor Perlombongan & pengkuarian (6.6%). Tiga negara utama FDI adalah Singapura, Jepun dan Hong Kong.

Pelaburan portfolio mencatatkan liabiliti bersih yang lebih rendah RM245.4 bilion (S3 2018: liabiliti bersih RM279.6 bilion), sementara pelaburan Lain merekodkan liabiliti bersih RM113.9 bilion (S3 2018: liabiliti bersih RM114.8 bilion).

Pada akhir Disember 2018, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berada pada RM419.5 bilion (akhir September: RM426.9 bilion). – MalaysiaGazette