Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Usaha memastikan keyakinan pelabur terhadap ekonomi serta potensi pertumbuhan Malaysia sangat penting untuk negara mengekalkan momentum pertumbuhannya, kata Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Sambil berkata bahawa lebih dua pertiga daripada ekonomi Malaysia didorong oleh pelaburan dan aktiviti yang dijalankan oleh sektor swasta, beliau menambah, sektor itu adalah enjin pertumbuhan yang mantap.

Ekonomi Malaysia dipacu oleh pelaburan dan aktiviti yang dijalankan oleh sektor swasta, sekali gus menjadikan mereka sebagai enjin pertumbuhan yang mantap.

“Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan ialah menanam keyakinan terhadap ekonomi dan negara supaya sektor swasta akan terus melabur, bukan sahaja pelabur asing, bahkan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan pada Siri Syarahan Kepimpinan Kewangan Islam (INCEIF) 2019 di sini, hari ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, hari ini mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.7 peratus pada suku keempat tahun lalu, menjadikan pertumbuhan ekonomi keseluruhan sebanyak 4.7 peratus pada 2018.

Beliau menyifatkan pertumbuhan itu kepada daya tahan sektor swasta walaupun berlaku gangguan sementara dalam bekalan.

Mengulas mengenai prestasi pertumbuhan itu, Abdul Wahid, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), berkata, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai struktur ekonomi yang pelbagai yang membolehkannya menahan kejutan.

Beliau berkata, negara perlu mengenal pasti sektor pertumbuhan baharu, terutama dalam sektor teknologi yang boleh berpotensi menambah nilai, dan mengangkatkan keseluruhan rantaian nilai ke tahap yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast