Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu tidak memahami situasi sebenar di sebalik penyertaan bekas anggota Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

SHAH ALAM  – Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu tidak memahami situasi sebenar di sebalik penyertaan bekas anggota Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya menegaskan kesemua wakil rakyat berkenaan bukan lagi daripada UMNO sebaliknya merupakan Anggota Parlimen Bebas yang menyatakan hasrat untuk ingin bersama-sama dalam perjuangan Bersatu.

“Mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Enam daripada mereka telah keluar daripada UMNO sejak Disember 2018 manakala seorang lagi keluar daripada UMNO sejak 1 Julai tahun lalu, jadi apa yang beliau (Liu) mahu bising dan kecewa sangat.

“Malah kami (Bersatu) tidak pernah campur hal ehwal dalaman DAP, sebaliknya kami menghormati prinsip kerjasama semua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Liu yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Pelek, semalam, yang menyifatkan bekas wakil rakyat UMNO yang diterima masuk ke dalam Bersatu sebagai ‘sampah’.

Liu turut menyatakan tindakan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad menerima mereka sangat mengecewakan kerana beliau (Dr Mahathir) sebelum ini dikatakan pernah berjanji untuk tidak menerima golongan seperti itu.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri menasihati Liu supaya melihat kemasukan anggota Parlimen terbabit dari sudut gambaran luas dan bukannya secara sempit seolah-olah seperti ‘katak di bawah tempurung’.

Ini kerana, beliau berkata, kemasukan anggota Parlimen tersebut ke dalam Bersatu secara tidak langsung memperkuatkan lagi kerusi PH dalam Parlimen.

Dr Mahathir pada Selasa mengumumkan penyertaan enam bekas Anggota Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan kad keahlian Bersatu kepada keenam-enam anggota parlimen tersebut serta Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyatie Samsudin yang telah menyertai Bersatu pada Disember tahun lepas.

Penyertaan kesemua wakil rakyat tersebut menjadikan jumlah Anggota Parlimen Bersatu ketika ini seramai 22 orang.

— BERNAMA