Nazman Che Ibrahim
Nazman Che Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kontroversi yang membangkitkan isu pencerobohan di Hutan Simpan Kledang Saiong sedang membuka pekung sebenar parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Selama ini, jika isu berkaitan pembalakan dan pengurusan hutan berlaku di Kelantan, muncul individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bangkit atas tema untuk mempertahan dan menyelamatkan alam sekitar.

Malah, ahli politik dari Parti Amanah Negara dan DAP sanggup berkampung di Gua Musang sepanjang dua tahun lalu demi memimpin perjuangan tersebut.

Bagaimanapun, ketika isu sama berlaku di Ipoh, Perak dan telah disahkan pengakuan beserta aduan berkaitan, hingga kini pihak tersebut seakan tuli tanpa reaksi.

Malah, dakwa Pengerusi Lajnah Alam Sekitar, Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nazman Che Ibrahim, beberapa anggota exco kerajaan negeri dikatakan terlibat bersekongkol meluluskan permit tersebut.

Katanya, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak pada 21 November lalu, seluas kira-kira 400 hektar diluluskan sebagai permit projek pembangunan ladang hutan.

“Mengejutkan apabila kelulusan melibatkan Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta itu diberikan untuk tempoh 50 tahun kepada syarikat NJ Development Sdn Bhd yang baharu berusia empat bulan.

“Syarikat ini yang dikatakan bermodalkan RM2 dan ditubuhkan pada 26 Julai lalu serta an diakui sendiri oleh Menteri Besar ketika menerima kelulusan tersebut tanpa tender terbuka.

“Sedangkan konsep transparensi ‘tender terbuka’ ini begitu vokal diperjuangkan PH, terutamanya DAP sebagaimana slogan C.A.T yang telah 11 tahun dimasyhurkan di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Nazman, ironinya apabila Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong daripada DAP membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadu tuduhan ‘salah laku’ Menteri Besar dalam kelulusan tersebut, ia memeranjatkan, tetapi tidak pelik sekiranya diamati naratif semua ini dari kaca mata politik.

Ia katanya, adalah plot drama yang sedang dipentaskan apabila masing-masing cuba memenuhi motif dan nafsu politik sendiri.

“Hakikatnya ialah hipokrit dan tembelang telah terburai, sedang mereka tidak segan silu lagi untuk bersengketa terbuka.

“Mereka menggadai prinsip integriti dan memungkiri janji serta paling jelik sedang menikam untuk menjatuhkan kedudukan antara satu sama lain.

“Tidak mustahil DAP berkomplot dengan PAN yang ditaja dan dibelanya selama ini untuk membina perangkap terhadap Menteri Besar, lalu bersedia juga mengorbankan rakan sendiri,” ujarnya.

Beliau menyatakan, desas-desus untuk menjatuhkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu bukan lagi baharu termasuk kelayakan akademik Paul Yong juga ‘dipanaskan’ beberapa minggu lalu.

Katanya, rakyat Perak jangan lupa haloba DAP di negeri itu dalam sejarah politik sedekad ini.

“Namun yang nyata, daripada semua pertembungan dan percaturan politik murahan ini, akhirnya rakyat juga yang rugi kerana hasil sumber mahsul dari pembalakan itu tidak masuk ke kantung kewangan negeri, tetapi lebih kepada kroni.

“Lebih malang juga, alam semulajadi menjadi mangsa dan cagaran apabila dinoda dirakusi sedemikian rupa, sedangkan harapan rakyat di era Malaysia Baharu adalah ingin melihat perubahan ke arah kehidupan yang sejahtera serta menjamin masa depan kepada lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast