Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh, bebas dan adil segala kepincangan dalam badan kehakiman.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Pemuda AMANAH menyokong penuh cadangan Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavitnya menyokong permohonan Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan Ketua Hakim Negara gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman berikutan campur tangan dalam dua kes melibatkan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendiang Karpal Singh.

Di samping itu, katanya, hakim Hamid Sultan dalam afidavit tersebut juga mendedahkan terdapat hakim kanan yang bimbang dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 yang lalu kerana akan diheret ke tribunal.

“Bagi Pemuda AMANAH, kebimbangan ini tidak akan wujud jika tidak berlaku pelanggaran etika hakim atau salahlaku perlembagaan dan ini mengambil kira kontroversi lanjutan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang lalu.

“Walaupun telah melepasi umur persaraan wajib 66 tahun, iaitu satu pelanggaran jelas peruntukan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan, ia adalah krisis perlembagaan yang menunjukkan kemungkinan wujud campur tangan kuasa kehakiman yang dicaturkan oleh pihak yang berkuasa ketika itu, yang mewajarkan satu siasatan rapi dijalankan melalui RCI,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, pendedahan oleh hakim Hamid Sultan yang dibuat melalui dokumen bersumpah itu adalah suatu perkara serius yang menimbulkan persoalan wajar sama ada hakim selama ini telah menjalankan fungsi kehakiman dengan adil, bebas, digniti, integriti dan de corum dalam kes tertentu.

Kata Muhammad Faiz, bagi merungkai kebimbangan umum ini, sewajarnya RCI ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat secara menyeluruh, bebas dan adil akan kepincangan badan kehakiman dan meletakkan semula kesucian badan kehakiman sebagai badan undang-undang tertinggi negara.

Jelas beliau, pemulihan kebebasan badan kehakiman adalah elemen penting prinsip keluhuran undang-undang. – MalaysiaGazette