Awin Mohd Noor

KUALA LUMPUR –  Penarikan subsidi untuk rayuan kali pertama dan pengiring mahram tidak sepatutnya menjadi isu sebaliknya rakyat perlu mengubah mentaliti supaya  tidak terlalu bergantung kepada pemberian bantuan daripada kerajaan.

“Tidak ada masalah untuk tiada subsidi, kalau nak naik haji maknanya mampu dan bersedia, kalau semua subsidi terlalu manja kita ni.

“Dari segi apa pun buang minda subsidi itu biar kita ini maju sikit,” kata Awin Mohd Noor, 60, kepada MalaysiaGazette dalam tinjauan.

Awin yang bekerja sendiri itu berkata, apa yang lebih penting sekarang Tabung Haji dan semua pihak yang berkaitan memikirkan bagaimana dapat memendekkan tempoh menunggu bakal-bakal jemaah haji.

Menyifatkan menunggu giliran terlalu lama sebagai menyusahkan, katanya, isu itu lebih penting jika dibandingkan dengan peraturan menetapkan bayaran penuh sebanyak RM22,900 kepada rayuan pertama dan pengiring mahram.

“Isunya sekarang bukan subsidi tetapi giliran tu kadang-kadang ada yang menunggu terlalu lama 20 tahun baru dapat, itu yang patut diutamakan,” katanya sambil menegaskan keutamaan sepatutnya diberi kepada warga emas dan golongan yang benar-benar susah.

Sebelum itu beberapa orang yang ditemui MalaysiaGazette rata-rata mahu kerajaan meneruskan subsidi bagi golongan berkenaan kerana kebanyakan yang membuat rayuan adalah mereka yang berusia.

Artikel berkaitan: https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/16/tarik-subsidi-jemaah-rayuan-dan-pengiring-rakyat-tolak-dasar-baharu-th/

Manakala pengiring mahram pula pergi kerana mengiringi jemaah yang benar-benar memerlukan mahram dalam menunaikan ibadah haji.

Khamis lalu, Tabung Haji dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa subsidi untuk menunaikan haji kekal manaka untuk rayuan kali pertama dan pengiring akan dikenakan bayaran tanpa subisidi.

Kenyataan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dan kebanyakannya meminta supaya peraturan baru itu dikaji semula.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan tidak akan bertindak sedemikian sebaliknya budi bicara akan digunakan dalam kes-kes seumpama itu.

Tabung Haji pula dalam kenyataannya memberitahu, bahawa rayuan masih belum diputuskan dan meminta supaya semua pihak bersabar. – MalaysiasGazette