Mohd. Shafie Apdal, Semporna, Parlimen, calon
Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak boleh menghalang kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah seperti mana perundangan yang membenarkan penubuhan parti politik baharu.

Presidennya yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata pendirian Warisan masih kekal seperti sebelum ini.

“Berkaitan dengan kemasukan Bersatu ke Sabah, kita tidak boleh halang mereka, atau parti lain dalam isu ini. Undang-undang kita membenarkan untuk parti baharu dibentuk.

“Walaubagaimanapun kita dengan jelas berpegang dengn pendirian parti kita (Warisan),” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, beliau turut menyedari perasaan penyokong Warisan berhubung kesediaan Bersatu itu dan berharap agar akar umbi tidak mengikut emosi, sebaliknya fokus kepada pembangunan negeri di bawah bayu itu.

“Nasihat saya ialah jangan terlalu mengikut emosi dan kita akan terus fokus kepada pembangunan negeri demi kepentingan rakyat Sabah.

“(Kita) mentadbir Sabah dengan baik dan memastikan kepentingan diperjuang serta dikekalkan seperti Perjanjian Malaysia,” tambahnya.

Terbaru, Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Bersatu tetap akan bertapak di Sabah selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk melihat sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) di Sabah.

Selepas Pilihan Raya Umum lalu, Dr. Mahathir menegaskan  Bersatu tidak akan masuk ke Sabah.

Malah Shafie juga pernah menyuarakan harapannya agar hasrat Bersatu untuk masuk ke negeri ini tidak berlaku kerana perkara itu telah mendapat kata sepakat pucuk pimpinan tertinggi kedua-dua parti – MalaysiaGazette