Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan keluar dari mahkamah selepas mengikuti penghujahan kes rayuan pengisytiharan kemenangan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau terbatal dan tidak sah di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2019.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohamad Hasan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu bermakna beliau gagal dalam mempertahankan kerusi yang dimenangi tanpa bertanding semasa Penamaan Calon PRU14 pada 28 April 2018, sekaligus menyaksikan Pilihan Raya Kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari di kawasan tersebut.

Panel lima hakim yang diketuai Tan Sri Richard Malanjum mengumumkan keputusan itu pada pukul 1.20 tengah hari.

Hujah bagi rayuan Timbalan Presiden UMNO itu bermula pukul 11.50 pagi melibatkan peguam pempetisyen Dr. S. Streram yang  diwakili Muhammad Haniff Khatri manakala barisan peguam Mohammad diketuai Datuk Hafarizam Harun. – MalaysiaGazette