Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Mohamed Haniff Khatri Abdulla

PUTRAJAYA – Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili pempetisyen calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. Streram berkata, rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Datuk Seri Mohamad Hasan ditolak Mahkamah Persekutuan hari ini kerana tidak mempunyai merit.

Katanya, isu yang dibangkitkan kedua-dua pihak tiada merit dalam rayuan untuk mengenepikan Keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kedudukan Timbalan Presiden UMNO itu di Rantau adalah tidak sah.

“Panel Lima Hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan keputusan mahkamah di Seremban tidak terjejas sebelum menolak rayuan kedua-dua pihak sambil mengarahkan kos kerosakan RM10,000 setiap seorang kepada Streram.

“Ini bermakna PRK akan berjalan tidak lama lagi di Rantau dan ia akan ditentukan oleh SPR selepas ini dan segala prosiding mahkamah selama ini menemui titik penamat hari ini,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Dalam pada itu, kata beliau, pasukannya berpendapat mana-mana pihak yang mematuhi peraturan tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak dan itu hak asasi yang perlu dipelihara.

Sementara itu, Streram berkata, beliau sangat gembira dengan keputusan itu dan ia memberi semangat untuk bertanding dalam  PRK yang akan diaakan itu.

“Kami tunggu keputusan SPR untuk tarikh PRK Rantau dan saya akan bertanding semula di Rantau nanti,” tambah beliau. – MalaysiaGazette